Info Ikan

  • LANDUK
Landuk (Lethrinus elongatus) daripada keluarga Lethrinidae juga dikenali sebagai pelanduk dan luping dikalangan penduduk Sabah. Ciri fizikal landuk ialah bermulut runcing memanjang, badan bertompok coklat dan putih, sisik keras dan keputihan di bawah perut.
 Diet Landuk ialah hidupan dasar, krustasia, anak ikan, ikan kecil dan sotong. Habitat landuk di dasar berkarang, tukun dan karang. Taburan di negara ini di Sabah, Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
 Walaupun bersaiz sederhana, landuk ada kekuatan tersendiri apabila melarikan umpan kerana ia ikan dasar tetapi semakin lemah apabila menghampiri permukaan. Saiz lazim spesies ini antara 1 hingga 7 kilogram.


  •  JENAHAK
Ikan Jenahak atau nama saintifiknya Lutjanus johnii boleh diperolehi di sekitar perairan negara ini sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak terutama di muara termasuk kawasan hutan bakau dan laut dalam. Beratnya boleh mencecah hingga 13 kilogram dan boleh dijinakkan dengan menggunakan umpan anak ikan termasuk anak gelama, sotong, isi ketam dan perumpun. Perambut yang sesuai digunakan adalah 20 hingga 40 paun berikutan sentapannya yang dianggap kuat.


  •  KACI
Ikan kaci atau nama saintifiknya plectorchinchus lavomaculatus habitatnya di terumbu atau karang. Spesies ini boleh ditemui di sekitar perairan Pantai Timur dan Barat. Spesies ini juga antara kegemaran kaki pancing berikutan "pertarungan" sengit apabila cuba mendaratkannya. Kaci atau dikenali mandi abu oleh masyarakat Pantai Timur memiliki berat antara 2 hingga 4 kilogram manakala umpan yang boleh digunakan ialah hirisan sotong dan ikan.


  • KERISI
Kerisi (Nemipterus balinensis) bersaiz kecil ini adalah antara daripada 14 spesies yang terdapat di sekitar perairan negara ini terutama di Pantai Barat dan Timur Semenanjung.
 Spesies ini ditemui dengan mudah sekitar April hingga September terutama di sekitar perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur (Mersing dan Endau).
 Kerisi boleh dipancing menggunakan apollo atau pancing dengan mata kail bersaiz kecil. Spesies ini aktif pada waktu siang dan umpan yang paling sesuai ialah hirisan ikan atau sotong.


  • SEMILANG KARANG
Ikan semilang karang adalah antara spesies semilang yang dianggap terkecil dan memiliki berat maksimum 250 gram. Boleh diperolehi di sekitar kawasan pantai di negara ini. Bagaimanapun, spesies ini hanya diperolehi di sekitar pantai dan bergerak dalam kelompok yang besar. Spesies ini boleh dijinakkan dengan menggunakan perumpun, anak ikan, hirisan ikan serta hirisan sotong.


  • KERAPU
Kerapu spesies ikan yang cukup sinonim di kalangan pemancing air masin. Sebut saja ikan kerapu, kita terbayang seekor ikan laut yang badan nya bersisik halus memiliki corak pelbagai warna, bermulut luas dan pelbagai bentuk.
 Ikan ini antara spesies yang paling bernilai, diminati serta mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan laut. Ikan unik ini mampu bertahan lama tanpa air, mendiami ekologi laut berstruktur sama ada karang, reba atau tunggul kayu, tukun, bangkai kapal, tiang rumah api atau dermaga, jeti, gua batu karang dan lubang di dasar laut. Ia boleh dikatakan spesies yang tinggal di sungai, muara, pesisiran pantai dan laut dalam atau berlindung di hutan batu karang sebagai habitat utama. Ia pemangsa dasar yang agak pemalas.
 Ia turut menyambar gewang dan jigs yang melintas berhampiran. Kerapu adalah ikan demersial iaitu pemangsa dasar. Ia menyambar hampir semua anak ikan, sotong, ketam dan udang, sama hidup atau mati. Oleh kerana kerapu bermulut besar, umpan seekor dan besar amat sesuai digunakan.
 Serranidae adalah nama famili kerapu. Ia mengandungi tujuh sub-famili iaitu Aethaloperca, Anyperodon, Cephalophalis, Cromileptes, Epinephelus, Plectromopus dan Variola.
 Dalam tujuh sub-famili itu pula terdapat 42 jenis yang ditemui di habitat tertentu. Kebanyakannya boleh ditemui di perairan negara terutama Laut China Selatan. Nama kerapu yang diguna pakai oleh nelayan mahupun pemancing yang biasa saya dengar ialah bebeh, lilin, kayu, keling, bara, ekor bulan, sunuk @ chonor, minyak, hitam, bunga, ekor putih, belida @ tikus, merah, botol, karang, batu, batik, panau, pipih, pisang, kertang dan tidak termasuk nama tempatan bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak.


  •  DENGKIS
Dengkis (Siganus lineatus) atau golden-lined spinefoot mudah ditemui di jeti dan terumbu di sekitar perairan negara ini. Ikan yang boleh ditemui hampir sepanjang tahun itu turut menjadikan kawasan bakau sebagai habitat dan beratnya yang sederhana mencecah hingga 500 gram.
 Garisan oren serta beberapa tanda oren di bahagian dapat memudahkan lagi mengenali spesies ini dan mata kail yang sesuai digunakan untuk mengail ikan ini ialah bersaiz 7 dan 9. Ikan ini perlu diumpan dengan dedak tabur kemudian dipancing menggunakan apollo berumpan hirisan ikan.


  •  Bawal Pinang
Ikan bawal pinang (Trachinotus blochii) boleh diperoleh di kawasan perairan pantai yang berbatu dan berpasir contohnya di sekitar Port Dickson, Selat Tebrau dan kawasan beting lain. Ikan ini bergerak dalam kumpulan yang kecil. Bagaimanapun, spesies ini banyak ditemui di kawasan Pantai Barat dan ia agak berkurangan di Pantai Timur.
 Ikan yang boleh ditemui hampir sepanjang musim itu boleh mencecah berat sehingga 9 kilogram dan panjangnya 65 sentimeter. Ia boleh dijinakkan dengan menggunakan umpan isi udang, anak ikan serta hirisan sotong. Mata kail terbaik nombor 7 hingga 10 mengikut sasaran. Gunakan tali 10 paun untuk merasai pertarungannya menggunakan set joran aksi ringan.


  • Bulan
Ikan bulan atau Albula neoguinaica boleh ditemui di sekitar perairan negara ini pada sepanjang musim. Kawasan yang boleh ditemui dengan mudah ialah di muara sungai, tepi pantai air payau dan air tawar. Umpan yang sesuai digunakan untuk menjinakkan spesies ini termasuk anak ikan selain udang dan sotong segar. Bagaimanapun, ikan yang turut disifatkan sebagai agresif ini boleh didaratkan dengan menggunakan gewang. Ia turut melompat apabila mengena mata kail. Mata kail nombor 8 hingga 12 dengan tali 10 paun boleh digunakan dan ini membolehkan kita menikmati pertarungan dengannya. Ikan yang boleh mencecah berat sehingga 2 kilogram ini turut memiliki panjang antara 10 hingga 15 sentimeter dan bergerak dalam kumpulan di kawasan permukaan air.


  • Tenggiri Batang
Ikan tenggiri khususnya tenggiri batang banyak dijual di pasaran dan mendapat permintaan tinggi. Ia berkepala tirus, muncungnya panjang, dibarisi gigi tiga segi tirus dan tajam dengan kadar saiz 1 nisbah 5 panjang keseluruhan badannya yang berbentuk silinder.
 Ekor tirus bercabang dan berkemampuan menujah pecutan renang mendahului kelajuan pemancing menggulung tangsi. Bahagian atas badan berwarna kehijauan dan keputihan di bawah hingga ke perut dengan jalur hitam melintang di badan.
 Warna kehijauan pudar apabila ia mati. Tenggiri batang boleh memanjang sehingga 2 meter dengan berat lebih 70 kilogram. Saiz biasa dipancing di lokasi tempatan sekitar 30 hingga 120 sentimeter dengan berat 3 hingga 10 kilogram. Ikan betina dikatakan matang apabila mencapai panjang 70 sentimeter manakala jantan ialah 65 sentimeter. Rekod tangkapan di negara ini ialah 18 kilogram dengan teknik menunda. Ia dikatakan cara paling mujarab menawan spesies itu.
 Tenggiri batang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Di Pantai Timur, musimnya mulai April hingga September atau sebaik-baiknya selepas berakhir monsun timur dan selepas angin tenggara melanda.
 Di Pantai Barat dari November hingga Mac manakala November hingga April di Sabah.


  •  Kerapu Tikus
Kerapu tikus adalah antara spesies kerapu paling mahal dan berprestij. Ia sukar diperoleh kecuali di kawasan karang di perairan lautan Asia Tenggara, Utara Australia, Terumbu Karang Besar Australia, Barat Indo-Pasifik. Ikan ini berukuran maksimum setakat 70 sentimeter dengan berat melebihi 5 kilogram.
 Ia dikenali sebagai Barramundi cod (Cromileptes altivelis) kerana bentuknya seperti siakap putih atau belida. Mudah dikenali kerana mempunyai titik hitam diserata badan dan sirip. Ia 'pemalu' justeru hanya keluar mencari makan pada waktu malam.
 Kerapu ini boleh didapati terutama di Sabah selain di gugusan pulau dan karang di Pantai Timur. Ia menggemari potongan ikan dan sotong.