Ikan merah dalam diari nelayan atau pemancing veteran adalah spesies paling sensitif pendengaran serta banyak pantang larangnya.
Justeru, ketika memancing ikan berkenaan anda perlu menjaga batu ladung supaya tidak terkena atau terhempas tepi bot atau sampan. Sebaliknya, anda perlu meletak batu ladung di atas guni atau kain tebal untuk mengelak daripada bunyi yang kuat jika terkena lantai tidak beralas.
Membuat bising dalam bot atau bercakap kuat sambil ketawa besar dengan apa cara sekalipun tidak disenangi ikan berkenaan. Itulah antara pantang larang yang masih diamalkan atau diyakini membawa musibah jika tidak dipatuhi.
Langkah paling baik yang perlu diambil untuk memerangkap ikan gred A itu adalah dengan mewujudkan suasana senyap dan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang bunyi yang bakal menakutkan ikan merah. Ketika mendaratkannya, batu ladung hendaklah disambut dengan tangan lalu meletakkannya pada tempat beralas sama ada guni atau kain tebal.
Pastikan ada joran yang berumpan dilabuhkan pada pertengahan air dan tentukan juga supaya perambut tidak putus ketika mendaratkan spesies ini.
Menurut kepercayaan nelayan jika tidak, ia akan mengundang nasib malang bagi kaki pancing. Menurut petua nelayan jika ada ikan merah yang terlepas maka itu akan menyebabkan kumpulan spesies itu akan segera meninggalkan kawasan memancing.
Oleh itu semua kaki pancing yang berhajat untuk memancing ikan merah dinasihatkan supaya mengamalkan petua yang dinyatakan diatas dan tidak memandang ringan kerana spesies ini berlainan berbanding ikan lain. Namun tidak semestinya petua menjanjikan rezeki yang lumayan hanya apa yang kita bawa pulang itulah sebenarnya rezeki kita.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada spesies ikan jenahak, tetanda dan spesies snaper lain.
No comments:
Post a Comment