Kita sering mendengar mengenai keenakan telur belangkas terutama dibakar. Kalau anda ingin merasainya boleh mengunjungi beberapa gerai yang disediakan peniaga di Perkampungan Portugis di Bandar Hilir, Melaka. Bagaimanapun, petua atau tips kali ini bukanlah ingin membincang mengenai telur atau darah belangkas yang sudah dikomersialkan, sebaliknya minyak yang dihasilkannya.
Apabila ditanak belangkas akan mengeluarkan minyak berwarna hitam atau kekuningan. Beberapa titik minyak berbau seakan minyak tar itu apabila digaul dengan dedak dinding atau dedak ayam dipercayai menaikkan aroma hingga membuka selera patin, rohu, jelawat dan lampam.
Ini dibuktikan sekumpulan kaki pancing sekitar Lembah Klang ketika memancing di kolam komersial. Nyata amat berkesan, tanpa menunggu lama umpan gaul minyak belangkas ini diragut ikan. Dedak gaul minyak belangkas ini cepat merangsang deria ikan berbanding cecair perasa pandan, strawberry, oren dan sebagainya.
Seorang kaki pancing yang enggan namanya dikenali memberitahu, kaedah menghasilkan minyak berkenaan agak rumit apabila beberapa ekor belangkas ditanak dalam bekas khas untuk mendapatkan minyaknya dan kemudian ditambah dengan resipi khas ciptaan pembuatnya.
Katanya, pengalaman menggunakan umpan ini sangat memuaskan apabila menaikkan kira-kira sepuluh ekor ikan patin dalam tempoh kurang dua jam.
Minyak belangkas ini boleh didapati di kebanyakan kedai pancing dan dijual sekitar RM10 hingga RM15 sebotol.
No comments:
Post a Comment