Umpan terbaik ialah umpan yang hidup di persekitaran tempat memancing atau sumber diet harian yang sentiasa dimakan ikan. Di tasik contohnya, ikan air tawar lebih tertakhluk kepada dua jenis makanan dari darat dan dalam air sendiri.
Sumber diet pilihan ikan tasik yang boleh ditemui di daratan sekitar tasik ialah katak, belalang, cacing, lipan, cengkerik dan pelbagai serangga yang biasa dan digemari sesetengah ikan tasik dan air tawar.
Bunga-bungaan, buah-buahan serta bijian juga boleh digunakan untuk memikat sesetengah spesies air tawar. Selain itu, adunan dedak dan campuran bahan penarik lain juga mampu membuahkan hasil lebih positif.
Umpan yang diperoleh dalam tasik adalah seperti anak ikan dan udang. Untuk sungai air tawar, umpan yang sesuai juga seperti yang dijelaskan untuk tasik.
Untuk memancing di muara, umpan terbaik ialah udang hidup, anak ikan jenis berkilat dan lembut sisik seperti bilis, tamban, selangat, beliak mata, kasai, bulu ayam, bilis air tawar, anak gelama, sotong katak (cumit hidup) dan perumpun.
Umpan paling sesuai dan mudah dicari ialah ikan segar yang baru dibawa pulang oleh nelayan seperti kembung, selayang, sotong, udang dan ketam. Semua ini adalah umpan mati. Namun ketam amat jarang digunakan untuk memancing di kawasan muara.
Jika di muara itu sesuai untuk menjala atau mendapatkan anak ikan melalui teknik apollo, itu yang terbaik kerana anda mampu menyediakan umpan segar dan mendiami lokasi yang sama dengan ikan buruan.
Untuk memancing di laut, biasakan membawa umpan pasar kerana ada masanya ikan di kawasan unjam amat sukar diperoleh. Jangan ambil risiko dengan pergi tanpa membawa umpan.
Ketika membeli umpan pasar, pastikan tahap kesegarannya dan simpan dengan betul dalam peti bersama ais yang mencukupi. Jangan ambil remeh mengenai kesegaran umpan. Ia perlu disediakan dengan sempurna ketika di darat lagi.
ustaz homestay kuantan ( 0133604802 )
ReplyDeleteharga sebuah rumah semalam rm 150.
malam malam seterusnya cuma rm 100 semalam.