Sunday, July 3, 2011

Umpan Perumpun Jadi Tarikan Ikan Laut

Umpan perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.
 Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya.
 Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini. Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita.
 Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.
 Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri.
 Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.
 Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.
 Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.
 Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian ditarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.
 Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.
 Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.
 Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.

Teknik Memancing Di Kawasan Berbatu

Menggunakan umpan hidup di kawasan berbatu mempunyai kelebihan dan kesulitan tersendiri. Jika terlalu membiarkan umpan hidup bebas, ia pasti akan mencari tempat perlindungan dari pemangsa dengan bersembunyi di celahan batu karang dan akhirnya tali pancing tersangkut. Tambahan pula jika anda memancing dari tebing, sukar untuk 'mengampai' umpan itu dari batu karang di dasar.
 Jika anda ingin umpan hidup tahan lama, ia perlu dihanyutkan dari tebing menggunakan belon atau pelampung. Namun, ia terbatas kerana kesukaran pasti timbul untuk memastikan belon digerakkan ke tengah kerana lazimnya di pantai, angin bertiup dari laut ke darat. Kawasan berbatu adalah lokasi tumpuan ikan. Jadi masa menunggu untuk ikan menelan umpan lebih cepat.
 Pemancing kerap mengalami masalah mata kail tersangkut jika memancing di tebing berbatu. Jika persekitaran air jernih, pilih kawasan terang dan jauhkan sedikit umpan dari karang. Perlu diingatkan tempat gelap adalah kawasan batu karang dan di kawasan sini anak ikan bermain. Cuba pikat ikan keluar dari sarangnya dan peluang tersangkut adalah tipis jika kita dapat menahan asakan ikan daripada memasuki semula sarangnya. Jika memilih untuk memikat ikan dalam sarang di karangnya, anda perlu rajin memasang mata kail baru setiap kali lontaran dibuat.
 Pilihan kedua, memancing tanpa batu ladung. Tanpa ladung, umpan mengambil masa untuk jatuh ke dasar. Ini memberi peluang ikan menyambar umpan ketika ia jatuh. Cara ini sesuai ketika air pasang atau air pasang penuh. Dengan teknik ini, anda tidak perlu melontar jauh kerana biasanya waktu air penuh ikan akan rapat ke pantai berbatu memburu mangsa atau anak ikan di situ. Sentap balas dan jangan terlalu memberi tali jika ikan mengasak. Tahan joran dengan meninggikan joran sambil mengarau tali. Tanpa ladung juga memudahkan kita merasai umpan yang diragut ikan.

Minyak Belangkas Pembuka Selera Ikan

Kita sering mendengar mengenai keenakan telur belangkas terutama dibakar. Kalau anda ingin merasainya boleh mengunjungi beberapa gerai yang disediakan peniaga di Perkampungan Portugis di Bandar Hilir, Melaka. Bagaimanapun, petua atau tips kali ini bukanlah ingin membincang mengenai telur atau darah belangkas yang sudah dikomersialkan, sebaliknya minyak yang dihasilkannya.
 Apabila ditanak belangkas akan mengeluarkan minyak berwarna hitam atau kekuningan. Beberapa titik minyak berbau seakan minyak tar itu apabila digaul dengan dedak dinding atau dedak ayam dipercayai menaikkan aroma hingga membuka selera patin, rohu, jelawat dan lampam.
 Ini dibuktikan sekumpulan kaki pancing sekitar Lembah Klang ketika memancing di kolam komersial. Nyata amat berkesan, tanpa menunggu lama umpan gaul minyak belangkas ini diragut ikan. Dedak gaul minyak belangkas ini cepat merangsang deria ikan berbanding cecair perasa pandan, strawberry, oren dan sebagainya.
 Seorang kaki pancing yang enggan namanya dikenali memberitahu, kaedah menghasilkan minyak berkenaan agak rumit apabila beberapa ekor belangkas ditanak dalam bekas khas untuk mendapatkan minyaknya dan kemudian ditambah dengan resipi khas ciptaan pembuatnya.
 Katanya, pengalaman menggunakan umpan ini sangat memuaskan apabila menaikkan kira-kira sepuluh ekor ikan patin dalam tempoh kurang dua jam.
 Minyak belangkas ini boleh didapati di kebanyakan kedai pancing dan dijual sekitar RM10 hingga RM15 sebotol.

Elak Mata Kail Berkarat

Cara yang paling baik ialah jangan campurkan mata kail yang sudah digunakan dengan mata baru. Untuk itu, sediakan bekas khas untuk menyimpan mata kail anda.
 Bekas menyimpan mata kail mesti (kalau boleh) kedap udara atau kalis air atau paling murah bekas kotak filem terpakai. Kotak itu juga perlu ada beberapa ruangan untuk menyimpan jenis dan saiz mata kail yang berlainan. Jangan campurkan mata kail dalam satu bekas kerana ini sikap tidak sistematik.
 Jika mata kail bercampur aduk, karat akan mudah merebak pada mata kail lain terutama mata kail jenis tidak tahan karat. Asingkan dalam tempat khas sekiranya mata kail yang sudah digunakan mahu digunakan lagi. Kalau tidak buang saja.
 Satu lagi, buang sisa umpan dan bilas mata kail yang digunakan dengan air paip. Kemudian keringkan dengan kain dan jemur bagi memastikan ia benar-benar kering sebelum disimpan.
 Bagi mata kail yang sudah terpakai dan kurang tajam, dapatkan kikir halus (hand file) dan asah saja bahagian depannya. Kertas pasir juga boleh digunakan sebagai alternatif.
 Simpan barang ini dalam kotak pancing kerana ia mudah dibawa kerana masa kita memerlukan adalah tidak menentu. Untuk penjimatan anda disyor menggunakan mata pancing tahan karat. Ia tahan lama dan boleh digunakan berulang kali.

Friday, July 1, 2011

Umpan Yang Sesuai Digunakan Untuk Memancing Ikan Rohu, Tongsan Dan Patin

*Rohu - Guna dedak tilapia dikisar halus dicampur mentega dan sedikit belacan.

*Tongsan - Campuran ubi kayu dimesin atau kisar halus. Dedak yang sesuai boleh dicampurkan sekali supaya menambah aroma dan daya penarik ikan menjamahnya.

*Patin - Telur dalam badan ayam pencen, roti dan campuran dedak juga boleh digunakan.

Pantang Larang Ikan Merah

Ikan merah dalam diari nelayan atau pemancing veteran adalah spesies paling sensitif pendengaran serta banyak pantang larangnya.
 Justeru, ketika memancing ikan berkenaan anda perlu menjaga batu ladung supaya tidak terkena atau terhempas tepi bot atau sampan. Sebaliknya, anda perlu meletak batu ladung di atas guni atau kain tebal untuk mengelak daripada bunyi yang kuat jika terkena lantai tidak beralas.
 Membuat bising dalam bot atau bercakap kuat sambil ketawa besar dengan apa cara sekalipun tidak disenangi ikan berkenaan. Itulah antara pantang larang yang masih diamalkan atau diyakini membawa musibah jika tidak dipatuhi.
 Langkah paling baik yang perlu diambil untuk memerangkap ikan gred A itu adalah dengan mewujudkan suasana senyap dan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang bunyi yang bakal menakutkan ikan merah. Ketika mendaratkannya, batu ladung hendaklah disambut dengan tangan lalu meletakkannya pada tempat beralas sama ada guni atau kain tebal.
 Pastikan ada joran yang berumpan dilabuhkan pada pertengahan air dan tentukan juga supaya perambut tidak putus ketika mendaratkan spesies ini.
 Menurut kepercayaan nelayan jika tidak, ia akan mengundang nasib malang bagi kaki pancing. Menurut petua nelayan jika ada ikan merah yang terlepas maka itu akan menyebabkan kumpulan spesies itu akan segera meninggalkan kawasan memancing.
 Oleh itu semua kaki pancing yang berhajat untuk memancing ikan merah dinasihatkan supaya mengamalkan petua yang dinyatakan diatas dan tidak memandang ringan kerana spesies ini berlainan berbanding ikan lain. Namun tidak semestinya petua menjanjikan rezeki yang lumayan hanya apa yang kita bawa pulang itulah sebenarnya rezeki kita.
 Keadaan yang sama juga berlaku kepada spesies ikan jenahak, tetanda dan spesies snaper lain.

Kulit Bakau Kesatkan Perumpun

Perumpun sejenis umpan yang mudah didapati di paya bakau, nipah dan kawasan kuala. Umpan ini amat efektif bagi spesies gelama, tetanda, semilang dan ikan yang berada di kuala sungai atau pantai.
 Bagaimanapun, umpan ini bukannya mudah untuk dipasangkan pada mata kail kerana bentuk badannya yang panjang dan licin. Silap haribulan kita pula digigitnya.
 Untuk memudahkan anda memasangnya di mata kail, kikiskan kulit pokok bakau dan gaul bersama perumpun berkenaan. Kulit bakau yang masih mempunyai getahnya boleh membuatkan perumpun berkenaan menjadi kesat, malah keras sedikit berbanding sebelumnya.
 Habuk kayu juga boleh digunakan, tetapi ia sukar didapati ketika anda berada di paya bakau.

Batu Ladung Penentu Nasib

Batu ladung atau pemberat berperanan dalam memastikan hasil tangkapan pemancing. Bagaimanapun, ramai kurang arif mengenai kesuaian penggunaannya sama ada bentuk, saiz serta beratnya.

*Batu ladung bujur - Bentuknya amat sesuai digunakan di laut mahupun sungai. Keadaannya yang bujur menjadikan ia berkedudukan statik dan menyukarkannya bergerak dibawa arus. Ia bermula daripada nombor 1 hingga 9.
 Batu nombor 1 hingga 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan kuku manakala nombor 7 dan 8 ikan siakap. Kedua-duanya amat gemar bermain di kawasan kuala terutama ketika air pasang.
 Ketika itulah arus deras dari laut memasuki kuala dan batu ini dapat menahan umpan daripada dihanyutkan.

*Batu ladung bujur leper - Bentuknya direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Batu nombor 3 dan 4 amat sesuai untuk memancing ikan bersaiz kecil serta tidak ganas seperti gelama atau gerut-gerut.
 Batu nombor 5 pula sering digunakan untuk kawasan kuala atau berarus deras, di mana keistimewaannya membuatkan umpan boleh terapung sedikit seolah-olah menjadikan umpan seperti hidup.

*Batu bulat - Mempunyai satu bulatan dawai untuk diikat pada tali utama atau dicangkut pada swivel. Batu ini dijual dari nombor 1/2 hingga 6. Batu bernombor kecil (1/2 hingga 3) amat sesuai digunakan di sungai atau tasik, manakala 4 hingga 6 di laut.

*Batu ranggong - Amat sesuai digunakan di laut. Boleh didapati dari nombor 10 hingga 13 dan tali digunakan untuk mengikatnya ialah tanduk kerbau atau lembu yang diraut seperti lidi sepanjang dua jengkal. Pada hujungnya diikat dengan batu ranggong dan hujung yang lain diikat dengan tali perambut.
 Tali utama pula diikat pada bahagian tengah. Pemasangan tanduk membolehkan umpan bergerak dan tidak tersangkut di batu karang.

*Batu panjang - Bentuknya menajam di kedua-dua hujungnya. Sesuai digunakan memancing di tepi pantai atau kuala. Pemberat bentuk ini boleh didapati daripada nombor 3 hingga 6.
 Nombor 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan gelama di tepi pantai, memandangkan arus deras. Manakala nombor 5 dan 6 sesuai digunakan di kuala. Saiznya lebih berat mampu mengurangkan rintangan arus di dasar.