Sunday, July 3, 2011

Umpan Perumpun Jadi Tarikan Ikan Laut

Umpan perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.
 Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya.
 Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini. Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita.
 Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.
 Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri.
 Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.
 Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.
 Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.
 Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian ditarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.
 Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.
 Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.
 Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.

Teknik Memancing Di Kawasan Berbatu

Menggunakan umpan hidup di kawasan berbatu mempunyai kelebihan dan kesulitan tersendiri. Jika terlalu membiarkan umpan hidup bebas, ia pasti akan mencari tempat perlindungan dari pemangsa dengan bersembunyi di celahan batu karang dan akhirnya tali pancing tersangkut. Tambahan pula jika anda memancing dari tebing, sukar untuk 'mengampai' umpan itu dari batu karang di dasar.
 Jika anda ingin umpan hidup tahan lama, ia perlu dihanyutkan dari tebing menggunakan belon atau pelampung. Namun, ia terbatas kerana kesukaran pasti timbul untuk memastikan belon digerakkan ke tengah kerana lazimnya di pantai, angin bertiup dari laut ke darat. Kawasan berbatu adalah lokasi tumpuan ikan. Jadi masa menunggu untuk ikan menelan umpan lebih cepat.
 Pemancing kerap mengalami masalah mata kail tersangkut jika memancing di tebing berbatu. Jika persekitaran air jernih, pilih kawasan terang dan jauhkan sedikit umpan dari karang. Perlu diingatkan tempat gelap adalah kawasan batu karang dan di kawasan sini anak ikan bermain. Cuba pikat ikan keluar dari sarangnya dan peluang tersangkut adalah tipis jika kita dapat menahan asakan ikan daripada memasuki semula sarangnya. Jika memilih untuk memikat ikan dalam sarang di karangnya, anda perlu rajin memasang mata kail baru setiap kali lontaran dibuat.
 Pilihan kedua, memancing tanpa batu ladung. Tanpa ladung, umpan mengambil masa untuk jatuh ke dasar. Ini memberi peluang ikan menyambar umpan ketika ia jatuh. Cara ini sesuai ketika air pasang atau air pasang penuh. Dengan teknik ini, anda tidak perlu melontar jauh kerana biasanya waktu air penuh ikan akan rapat ke pantai berbatu memburu mangsa atau anak ikan di situ. Sentap balas dan jangan terlalu memberi tali jika ikan mengasak. Tahan joran dengan meninggikan joran sambil mengarau tali. Tanpa ladung juga memudahkan kita merasai umpan yang diragut ikan.

Minyak Belangkas Pembuka Selera Ikan

Kita sering mendengar mengenai keenakan telur belangkas terutama dibakar. Kalau anda ingin merasainya boleh mengunjungi beberapa gerai yang disediakan peniaga di Perkampungan Portugis di Bandar Hilir, Melaka. Bagaimanapun, petua atau tips kali ini bukanlah ingin membincang mengenai telur atau darah belangkas yang sudah dikomersialkan, sebaliknya minyak yang dihasilkannya.
 Apabila ditanak belangkas akan mengeluarkan minyak berwarna hitam atau kekuningan. Beberapa titik minyak berbau seakan minyak tar itu apabila digaul dengan dedak dinding atau dedak ayam dipercayai menaikkan aroma hingga membuka selera patin, rohu, jelawat dan lampam.
 Ini dibuktikan sekumpulan kaki pancing sekitar Lembah Klang ketika memancing di kolam komersial. Nyata amat berkesan, tanpa menunggu lama umpan gaul minyak belangkas ini diragut ikan. Dedak gaul minyak belangkas ini cepat merangsang deria ikan berbanding cecair perasa pandan, strawberry, oren dan sebagainya.
 Seorang kaki pancing yang enggan namanya dikenali memberitahu, kaedah menghasilkan minyak berkenaan agak rumit apabila beberapa ekor belangkas ditanak dalam bekas khas untuk mendapatkan minyaknya dan kemudian ditambah dengan resipi khas ciptaan pembuatnya.
 Katanya, pengalaman menggunakan umpan ini sangat memuaskan apabila menaikkan kira-kira sepuluh ekor ikan patin dalam tempoh kurang dua jam.
 Minyak belangkas ini boleh didapati di kebanyakan kedai pancing dan dijual sekitar RM10 hingga RM15 sebotol.

Elak Mata Kail Berkarat

Cara yang paling baik ialah jangan campurkan mata kail yang sudah digunakan dengan mata baru. Untuk itu, sediakan bekas khas untuk menyimpan mata kail anda.
 Bekas menyimpan mata kail mesti (kalau boleh) kedap udara atau kalis air atau paling murah bekas kotak filem terpakai. Kotak itu juga perlu ada beberapa ruangan untuk menyimpan jenis dan saiz mata kail yang berlainan. Jangan campurkan mata kail dalam satu bekas kerana ini sikap tidak sistematik.
 Jika mata kail bercampur aduk, karat akan mudah merebak pada mata kail lain terutama mata kail jenis tidak tahan karat. Asingkan dalam tempat khas sekiranya mata kail yang sudah digunakan mahu digunakan lagi. Kalau tidak buang saja.
 Satu lagi, buang sisa umpan dan bilas mata kail yang digunakan dengan air paip. Kemudian keringkan dengan kain dan jemur bagi memastikan ia benar-benar kering sebelum disimpan.
 Bagi mata kail yang sudah terpakai dan kurang tajam, dapatkan kikir halus (hand file) dan asah saja bahagian depannya. Kertas pasir juga boleh digunakan sebagai alternatif.
 Simpan barang ini dalam kotak pancing kerana ia mudah dibawa kerana masa kita memerlukan adalah tidak menentu. Untuk penjimatan anda disyor menggunakan mata pancing tahan karat. Ia tahan lama dan boleh digunakan berulang kali.

Friday, July 1, 2011

Umpan Yang Sesuai Digunakan Untuk Memancing Ikan Rohu, Tongsan Dan Patin

*Rohu - Guna dedak tilapia dikisar halus dicampur mentega dan sedikit belacan.

*Tongsan - Campuran ubi kayu dimesin atau kisar halus. Dedak yang sesuai boleh dicampurkan sekali supaya menambah aroma dan daya penarik ikan menjamahnya.

*Patin - Telur dalam badan ayam pencen, roti dan campuran dedak juga boleh digunakan.

Pantang Larang Ikan Merah

Ikan merah dalam diari nelayan atau pemancing veteran adalah spesies paling sensitif pendengaran serta banyak pantang larangnya.
 Justeru, ketika memancing ikan berkenaan anda perlu menjaga batu ladung supaya tidak terkena atau terhempas tepi bot atau sampan. Sebaliknya, anda perlu meletak batu ladung di atas guni atau kain tebal untuk mengelak daripada bunyi yang kuat jika terkena lantai tidak beralas.
 Membuat bising dalam bot atau bercakap kuat sambil ketawa besar dengan apa cara sekalipun tidak disenangi ikan berkenaan. Itulah antara pantang larang yang masih diamalkan atau diyakini membawa musibah jika tidak dipatuhi.
 Langkah paling baik yang perlu diambil untuk memerangkap ikan gred A itu adalah dengan mewujudkan suasana senyap dan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang bunyi yang bakal menakutkan ikan merah. Ketika mendaratkannya, batu ladung hendaklah disambut dengan tangan lalu meletakkannya pada tempat beralas sama ada guni atau kain tebal.
 Pastikan ada joran yang berumpan dilabuhkan pada pertengahan air dan tentukan juga supaya perambut tidak putus ketika mendaratkan spesies ini.
 Menurut kepercayaan nelayan jika tidak, ia akan mengundang nasib malang bagi kaki pancing. Menurut petua nelayan jika ada ikan merah yang terlepas maka itu akan menyebabkan kumpulan spesies itu akan segera meninggalkan kawasan memancing.
 Oleh itu semua kaki pancing yang berhajat untuk memancing ikan merah dinasihatkan supaya mengamalkan petua yang dinyatakan diatas dan tidak memandang ringan kerana spesies ini berlainan berbanding ikan lain. Namun tidak semestinya petua menjanjikan rezeki yang lumayan hanya apa yang kita bawa pulang itulah sebenarnya rezeki kita.
 Keadaan yang sama juga berlaku kepada spesies ikan jenahak, tetanda dan spesies snaper lain.

Kulit Bakau Kesatkan Perumpun

Perumpun sejenis umpan yang mudah didapati di paya bakau, nipah dan kawasan kuala. Umpan ini amat efektif bagi spesies gelama, tetanda, semilang dan ikan yang berada di kuala sungai atau pantai.
 Bagaimanapun, umpan ini bukannya mudah untuk dipasangkan pada mata kail kerana bentuk badannya yang panjang dan licin. Silap haribulan kita pula digigitnya.
 Untuk memudahkan anda memasangnya di mata kail, kikiskan kulit pokok bakau dan gaul bersama perumpun berkenaan. Kulit bakau yang masih mempunyai getahnya boleh membuatkan perumpun berkenaan menjadi kesat, malah keras sedikit berbanding sebelumnya.
 Habuk kayu juga boleh digunakan, tetapi ia sukar didapati ketika anda berada di paya bakau.

Batu Ladung Penentu Nasib

Batu ladung atau pemberat berperanan dalam memastikan hasil tangkapan pemancing. Bagaimanapun, ramai kurang arif mengenai kesuaian penggunaannya sama ada bentuk, saiz serta beratnya.

*Batu ladung bujur - Bentuknya amat sesuai digunakan di laut mahupun sungai. Keadaannya yang bujur menjadikan ia berkedudukan statik dan menyukarkannya bergerak dibawa arus. Ia bermula daripada nombor 1 hingga 9.
 Batu nombor 1 hingga 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan kuku manakala nombor 7 dan 8 ikan siakap. Kedua-duanya amat gemar bermain di kawasan kuala terutama ketika air pasang.
 Ketika itulah arus deras dari laut memasuki kuala dan batu ini dapat menahan umpan daripada dihanyutkan.

*Batu ladung bujur leper - Bentuknya direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Batu nombor 3 dan 4 amat sesuai untuk memancing ikan bersaiz kecil serta tidak ganas seperti gelama atau gerut-gerut.
 Batu nombor 5 pula sering digunakan untuk kawasan kuala atau berarus deras, di mana keistimewaannya membuatkan umpan boleh terapung sedikit seolah-olah menjadikan umpan seperti hidup.

*Batu bulat - Mempunyai satu bulatan dawai untuk diikat pada tali utama atau dicangkut pada swivel. Batu ini dijual dari nombor 1/2 hingga 6. Batu bernombor kecil (1/2 hingga 3) amat sesuai digunakan di sungai atau tasik, manakala 4 hingga 6 di laut.

*Batu ranggong - Amat sesuai digunakan di laut. Boleh didapati dari nombor 10 hingga 13 dan tali digunakan untuk mengikatnya ialah tanduk kerbau atau lembu yang diraut seperti lidi sepanjang dua jengkal. Pada hujungnya diikat dengan batu ranggong dan hujung yang lain diikat dengan tali perambut.
 Tali utama pula diikat pada bahagian tengah. Pemasangan tanduk membolehkan umpan bergerak dan tidak tersangkut di batu karang.

*Batu panjang - Bentuknya menajam di kedua-dua hujungnya. Sesuai digunakan memancing di tepi pantai atau kuala. Pemberat bentuk ini boleh didapati daripada nombor 3 hingga 6.
 Nombor 3 sesuai digunakan untuk memancing ikan gelama di tepi pantai, memandangkan arus deras. Manakala nombor 5 dan 6 sesuai digunakan di kuala. Saiznya lebih berat mampu mengurangkan rintangan arus di dasar.

Wednesday, June 29, 2011

Umpan Kerang

Umpan seperti perumpun, ikan kembong, belanak dan udang yang digunakan untuk menjinakkan ikan di laut dianggap sesuatu yang sudah biasa digunakan kebanyakan kaki pancing.
 Mungkin kali ini anda boleh mencuba isi kerang sebagai umpan. Ia berkesan menjinakkan ikan tetapi jarang sekali digunakan. Kerang dianggap antara umpan yang paling baik memancing sembilang. Jadi, tidak salah jika sesekali kita menukar umpan untuk memastikan ikan yang dihajati seperti sembilang dapat dibawa pulang.
 Isi kerang juga boleh digunakan sebagai umpan memancing udang.

Umpan Pancing Di Tasik, Sungai Dan laut

Umpan terbaik ialah umpan yang hidup di persekitaran tempat memancing atau sumber diet harian yang sentiasa dimakan ikan. Di tasik contohnya, ikan air tawar lebih tertakhluk kepada dua jenis makanan dari darat dan dalam air sendiri.
 Sumber diet pilihan ikan tasik yang boleh ditemui di daratan sekitar tasik ialah katak, belalang, cacing, lipan, cengkerik dan pelbagai serangga yang biasa dan digemari sesetengah ikan tasik dan air tawar.
 Bunga-bungaan, buah-buahan serta bijian juga boleh digunakan untuk memikat sesetengah spesies air tawar. Selain itu, adunan dedak dan campuran bahan penarik lain juga mampu membuahkan hasil lebih positif.
 Umpan yang diperoleh dalam tasik adalah seperti anak ikan dan udang. Untuk sungai air tawar, umpan yang sesuai juga seperti yang dijelaskan untuk tasik.
 Untuk memancing di muara, umpan terbaik ialah udang hidup, anak ikan jenis berkilat dan lembut sisik seperti bilis, tamban, selangat, beliak mata, kasai, bulu ayam, bilis air tawar, anak gelama, sotong katak (cumit hidup) dan perumpun.
 Umpan paling sesuai dan mudah dicari ialah ikan segar yang baru dibawa pulang oleh nelayan seperti kembung, selayang, sotong, udang dan ketam. Semua ini adalah umpan mati. Namun ketam amat jarang digunakan untuk memancing di kawasan muara.
 Jika di muara itu sesuai untuk menjala atau mendapatkan anak ikan melalui teknik apollo, itu yang terbaik kerana anda mampu menyediakan umpan segar dan mendiami lokasi yang sama dengan ikan buruan.
 Untuk memancing di laut, biasakan membawa umpan pasar kerana ada masanya ikan di kawasan unjam amat sukar diperoleh. Jangan ambil risiko dengan pergi tanpa membawa umpan.
 Ketika membeli umpan pasar, pastikan tahap kesegarannya dan simpan dengan betul dalam peti bersama ais yang mencukupi. Jangan ambil remeh mengenai kesegaran umpan. Ia perlu disediakan dengan sempurna ketika di darat lagi.

Petua Cara Elak Hantu, Syaitan Masuk Rumah

Kita kadang-kadang tidak menyedari setiap kali pulang memancing dari hutan, lombong tinggal atau pulau di tengah laut ada hantu atau syaitan mengikut kita balik untuk menganggu penghuni rumah yang lemah semangat terutama kanak-kanak dan perempuan.
 Justeru, langkah terbaik anda perlu lakukan ialah berehat beberapa ketika di halaman atau serambi rumah sambil membaca Surah Annas sebanyak tiga kali lalu memohon kepada Allah supaya syaitan tidak turut masuk ke dalam rumah.
 Langkah seterusnya jangan terus meluru mengambil anak lalu mencium dalam pangkuan yang dengan masih berpakaian yang dipakai ketika aktiviti memancing.
 Sikap terburu-buru dan tidak beringat ini boleh mendedahkan anak-anak kecil kepada gatal-gatal akibat pakaian kita yang mungkin sudah dihinggap kuman atau miang yang dibawa dari hutan tebal.
 Generasi muda perlu menanam kan ingatan bahawa lokasi memancing adalah kawasan terpencil dalam hutan tebal atau jauh di tengah lautan yang kita tidak ketahui ada penghuni lain yang tidak dapat dilihat ada di sana.
 Adalah lebih perlu anda melakukan sesuatu yang baik dan sentiasa waspada dengan keadaan sekeliling. Jangan suka bertindak melulu dan mengikut sesuka hati anda dan terus pulang meluru masuk ke rumah dengan tidak memberi salam kepada keluarga terlebih dulu.
 Ada juga yang mengamalkan petua dengan membuka pakaian di luar rumah, mencuci kaki dan muka sebelum masuk ke rumah. Adalah lebih baik jika anda mandi dan mengambil wuduk jika ada bilik air di luar rumah sebelum masuk ke rumah.
 Sebagai pemancing, anda perlu mengamalkan petua yang baik ini untuk kesejahteraan bersama. Dan, harus diingat bahawa ada makhluk lain dalam dunia ini yang tidak dapat dilihat serta sentiasa mengambil kesempatan untuk merosakkan kita.

Teknik Hanyut Umpan

Teknik menghanyut umpan sesuai untuk menjerat ikan yang gemar bermain di permukaan seperti ikan layar, mersuji, tenggiri, alu-alu, todak dan tidak spesies jemuduk, cupak, gerong belang, cermin mahupun ebek.
 Oleh kerana sebahagian besar ikan yang memburu di permukaan memiliki gigi yang tajam maka perambut dawai amat disyorkan. Jika memancing di atas bot, hanya pemancing di belakang yang mempunyai kelebihan teknik menghanyut umpan berbanding pemancing di hadapan.
 Antara peralatan utama selain kekili sama ada terbuka atau multiplier dan joran,mata kail jenis Octopus atau jenis yang khas untuk umpan hidup disyorkan. Mata kail terkini yang digunakan ialah 'circle hook' atau 'suicide hook' untuk melindungi spesies ikan layar, mersuji, yu dan todak.
 Penggunaan belon perlu jika arus lemah dan persekitaran berangin. Jarak umpan dengan belon kira-kira 7 depa (8 meter) jika berhajat memancing tenggiri.
 Jika arus deras, memadai kita terus hanyutkan umpan tanpa pemberat atau belon. Ladung kecil digunakan sekadar untuk menenggelamkan umpan pada kedalaman tertentu. Teknik menghanyut juga perlu menggunakan perambut panjang lebih 5 depa (4 meter) sebelum perambut dipasang cili yang tahan tekanan. Jika umpan hidup satu mata kail 5/0 lebih efektif dipasang manakala umpan mati pula ramai memilih untuk menggunakan dua atau tiga mata kail sederhana besar.
 Kekili yang digunakan mestilah tip-top, lancar pergerakan gegelung dan sistem brek, mempunyai sistem penggera serta dapat menampung tekanan dan haba melampau secara tiba-tiba apabila bertarung dengan mangsa.

Cara Melaras Sistem Tegangan Kekili Dengan Betul

 
Kebiasaan sebelum memancing, kita perlu memasang kekili pada joran. Tangsi yang digulung dalam mesin pula pasti anda tahu kekuatannya sama ada 10 paun, 20 paun, 30 paun dan sebagainya.
 Untuk melaraskan sistem tegangan (drag system) yang betul, uji ia terlebih dulu. Caranya mudah, ikat hujung tangsi dengan kemas dan kuat pada sebarang objek yang teguh seperti tombol pintu sebagai umpannya. Undur 5 hingga 10 langkah ke belakang.
 Angkat joran kemudian bengkokkan badan ke belakang supaya joran melengkung seolah-olah anda bertarung dengan ikan besar. Ketika lengkungan joran terhenti pada tahap maksimum, longgarkan sistem tegangan (biasa berada di hadapan atau belakang kekili mendatar, di sisi untuk kekili menegak) sehingga tangsi meleret keluar dari gelendungnya (mesin).
 Ketika ini, anda boleh bayangkan bertarung dengan ikan yang sedang menarik keluar tangsi. Apabila tangsi mula keluar, hentikan melonggar sistem tegangan. Tahap ini sudah memandai. Ujian ini boleh dilakukan jika tiada alat menimbang untuk mengukur kekuatan sistem tegangan. Kebanyakan pemancing berpendapat kekuatan sistem tegangan selamat ialah 1/3 dari kekuatan tangsi.
 Saya ambil contoh jika tangsi 30 paun digunakan, sistem tegangan selamat ialah 10 paun. Untuk melaraskan ia dengan tepat, skala penimbang diperlukan yang mempunyai gelung di hujung dan cangkuk di hadapan. Ia banyak dijual di kedai pancing. Ikat atau pasang skala penimbang di pagar rumah atau pokok dengan ketinggian 1 meter dari tanah.
 Ikat tangsi pada hujung satu lagi (cangkuk) dan buat gerakan mengundur sambil tegangkan tangsi. Tegakkan joran seperi ujian pertama tanpa skala penimbang dan perhatikan bacaan skala ketika tangsi keluar. Anda memerlukan seorang rakan untuk memberitahu bacaan skala.